Ahad, 8 Mei 2011

cerpen cinta buat ibu

“Mengapa dengan bonda?” Aizan Fahmi menarik-narik kain perempuan di sisinya. Perempuan itu menunduk ke bawah. Memandang anak berumur 10 tahun itu dengan pandangan kasih sayang. Rambut Aizan Fahmi diusap. “Adindamu sedang dilahirkan.” Kemudian kepalanya menoleh ke arah pintu bilik. Aizan Fahmi menoleh ke arah yang sama. Dia mendengar jeritan ibunya. Seakan menderita. “Adakah bonda semasa melahirkan saya, begitu juga?” Aizan Fahmi berkerut. Perempuan di sisinya mengangguk perlahan. “Adakah sakitnya memang begitu?” Dan perempuan di sisinya itu menoleh semula kepadanya. Tersenyum. “Itulah yang dilalui oleh setiap ibu wahai Putera Aizan. Sakitnya seperti mahu mati, tetapi digagahkan juga menghadapinya agar anak-anak dapat melihat dunia ini.” “Apakah bonda tidak akan apa-apa?” Aizan Fahmi merasa gerun apabila mendengar ‘sakitnya seperti mahu mati’. Air matanya bergenang, dan dadanya rasa sesak. Ketika itulah dia didakapi perempuan di sisinya. “Jangan risau Putera Aizan, semua perempuan melaluinya. Percayalah kepada Allah, sesungguhnya Allah jualah yang menjaga Permaisuri kita.” “Nanti bila Bonda sihat, saya akan menjadi penjaganya yang setia. Saya tidak mahu nakal-nakal lagi. Saya akan mentaatinya. Saya akan melindunginya dengan nyawa ini.” Aizan Fahmi menekapkan wajahnya pada bahu perempuan itu. Tangisannya meresap. Dia cuba menahan bahunya dari terenjut-enjut, namun sekadar membuatkan tubuhnya bergegar lebih kuat. Perempuan yang menjaganya terus menenangkan, mengusap belakang kepala Aizan Fahmi dengan kasih sayang. Dan tidak lama kemudian, suara jeritan kesakitan itu berhenti. Terganti dengan bunyi tangisan seorang bayi. Perempuan itu tersenyum gembira. “Putera Aizan, adindamu terlahir.” Aizan Fahmi menoleh ke arah bilik tempat Bondanya bersalin. Dan ketika itu juga pintu bilik terbuka. Seorang lelaki berpakaian sederhana, keluar dengan wajah gembira, menatang seorang bayi kecil berselimut kain. Segera Aizan Fahmi melepaskan diri dari dakapan perempuan tadi, dan berlari ke arah lelaki tersebut. “Ayahanda!” Lelaki itu menunduk, agar tingginya sama dengan Aizan Fahmi. Agar Aizan Fahmi mampu melihat bayi tadi dengan baik. “Aizan, Allah baru mengurniakan kamu seorang adinda perempuan.” Lelaki itu kelihatan teramat gembira. “Ayahanda namakannya Maisarah.” “Comel Tuanku.” Suara perempuan tadi mencelah. Aizan Fahmi sempat menoleh ke belakang sebentar. Nyata perempuan itu kini benar-benar di belakangnya. Kemudian Aizan Fahmi dapat melihat lelehan air mata pada wajah ayahandanya itu. Tetapi disertai senyuman, menandakan itu air mata kegembiraan. Tiba-tiba Aizan Fahmi teringat sesuatu. Segera dikucupnya pipi adindanya itu, dan segera meninggalkan Ayahandanya. Dia bergegas masuk ke bilik tempat Bondanya bersalin. Kelihatan Bondanya sedang terbaring lemah, namun wajah pucat itu seperi punya sinar. “Aizan…” Perlahan bondanya bersuara. Tangan cuba diangkat, walaupun kekuatan seperti tiada. Memanggil Aizan Fahmi agar merapat kepadanya. Aizan Fahmi terus mendapatkan tangan itu. Mengucupnya. Dan air mata meleleh. “Eh, kenapa dengan putera bonda ini?” Bondanya kehairanan. “Adakah Aizan tidak suka dengan kehadiran adindamu?” Aizan Fahmi menggeleng. Bukan tidak suka. Namun suaranya tidak keluar, kerana sebak. Air mata merembes lebat. Tangan Bondanya tidak dilepaskan. Basah dengan air matanya. “Bonda..” Akhirnya suaranya cuba dilepaskan. “Ya puteraku Aizan. Anakanda hatiku dan buah jantungku.” Dalam kelemahan, Bondanya masih bertenaga untuknya. “Aizan akan menjadi orang yang amat-amat menghargai Bonda. Aizan akan menjadi orang yang amat-amat mencintai Bonda. Aizan akan menjadi orang yang melindungi Bonda daripada segala kesakitan. Aizan akan menjadi orang yang mempertahankan Bonda daripada segala penderitaan. Aizan berjanji tidak akan menyusahkan Bonda lagi. Aizan berjanji tidak akan buat Bonda terasa hati lagi. Aizan akan menjadi manusia yang baik buat Bonda. Membesar menjadi yang dibanggai Bonda. Aizan janji!” Bondanya terpana. Suasana bilik itu jadi senyap sebentar, hanya diisi dengan sedu-sedan Aizan Fahmi. Kemudian Bondanya tersenyum. Wajah pucat lesu itu bercahaya. “Mari sini Aizan.” Tangannya bergerak ke belakang kepala Aizan Fahmi, dan mendekatkan kepala anak lelaki itu kepada tubuhnya. “Sejak bilakah Aizan pernah menyusahkan bonda dan membuat bonda terasa hati? Sungguh, Aizan hari ini sahaja sudah menjadi kebanggaan Bonda. Bonda senang dengan kehadiran Aizan. Aizan adalah hadiah Allah kepada bonda. Sama seperti adindamu itu, sama seperti ayahandamu itu. Bonda sentiasa kasihkan kalian.” Dan bicara itu membuatkan Aizan Fahmi menangis sekuat hati. Nyata Bondanya amat mulia. Dan hari ini adalah hari yang akan diingatinya. ******* Aizan Fahmi mengelak serangan yang ditujukan kepadanya. Serangan kedua menyusul, dan kali ini dia mempertahankan diri dengan kedua-dua lengannya. Tubuhnya bergegar apabila menerima hentaman tombak tersebut. Tetapi dia tidak jeda terlalu lama, segera ditangkap tombak itu dan menarik sekuat hatinya. Penyerang terdorong ke arah dirinya. Dan ketika ini kakinya telah diangkat untuk menjamu wajah Sang Penyerang. Namun tendangannya itu ditepis kemas, dan perutnya pula yang ditendang. Tubuhnya jatuh berguling, sebelum dia tangkas bangkit. Segera perutnya itu dipegang. Sakit. Pap, pap, pap. Penyerangnya bertepuk tangan. Dengan wajah penuh senyuman, penyerangnya itu mendekati. “Aizan Fahmi, kamu semakin hari semakin lincah. Tendangan tadi itu, benar-benar satu serangan yang baik. Kalau bukan kamu bertubuh kecil, pastinya wajahku sudah bertanda telapak kakimu.” Dan penyerangnya itu ketawa. Aizan Fahmi berkerut sambil mencebik. “Satu hari nanti, saya akan menjadi lebih tinggi daripada guru dan mempunyai tubuh yang lebih gagah.” Penyerangnya, merangkap gurunya itu tertawa senang. “Tuanku, lihatlah anakandamu ini. Penuh dengan cita-cita.” Sambil melihat ke sisi gelanggang. Kelihatan ayahanda Aizan Fahmi sedang tersenyum. Di sisi Ayahanda Aizan Fahmi, terdapat Bonda dan Adindanya. Kini Adindanya sudah berumur 5 tahun. “Rib’i, bukankah kita bersahabat? Panggil aku dengan namaku, Ruh Faizan.” Rib’i menggeleng. “Rib’i Amir, contoh buat masyarakat. Aku adalah yang akan mendidik masyarakat bagaimana beradab dengan Rajaku.” Menepuk dadanya. Ruh Faizan hanya mampu tersenyum. Kemudian Aizan Fahmi dipandangnya. “Anakandaku Aizan Fahmi, nyata kamu membesar dengan baik.” “Satu hari nanti Ayahanda, Aizan akan memerangi Sang Asura dan menghentikan penderitaan dunia.” Aizan Fahmi berbicara semangat. “Dan Aizan akan buat Bonda gembira dengan keamanan itu.” Dia memandang kepada bondanya. Bondanya tersenyum manis. Wajah itu tidak lagi pucat, bahkan berseri seperti rembulan mengambang. “InsyaAllah Aizan, kamu pastinya mampu.” Bondanya bersuara. Gemersik mendamai kalbu. Ibarat mentari yang memberi cahaya. Buat dirinya semakin bertenaga. “Guru, sekali lagi. Mari.” Dia mencabar untuk diteruskan latihan. Seluarnya yang berdebu ditepuk kibas. Kedengaran sebentar sorak adindanya. “Kakanda, kakanda.” Aizan tersenyum. Kini dia berumur 15 tahun. Dia mensasarkan bahawa 5 tahun lagi, dia akan menjadi seorang Panglima Tanah Haram. Tanah Haram adalah Kerajaan kekuasaan Ayahandanya. Meliputi Tanah Suci dan Bumi Barakah, dan perkampungan-perkampungan kecil di sekitarnya. Ketua Panglima Tanah Haram ketika ini adalah gurunya, Rib’i Amir. Bersama empat lagi sahabat gurunya, yang juga merupakan sahabat ayahandanya – Panglima Ubaidillah Jarrah, Panglima Umair Waqqas, Panglima Abu Dzarrin dan Panglima Uthman Tolib. Mereka adalah pejuang-pejuang Tanah Haram yang kini berusaha mempertahankan Kerajaan ini daripada serangan Sang Asura. Sang Asura kini rakus menjatuhkan satu persatu Kerajaan yang ada di atas muka bumi ini. Kerajaan Utara telah hancur menjadi mangsa Sang Asura dan kerajaannya yang bernama Utopia itu semasa awal kemunculan mereka pada tahun yang lalu. Kini dengarnya Sang Asura sudah mula menggerakkan bala tenteranya untuk menghapuskan Kerajaan Barat. Jadi, Aizan Fahmi perlu menjadi seorang yang kuat. Buat mempertahankan Kerajaan Tanah Haram. Sekurang-kurangnya, sekira Sang Asura menyerang Tanah Haram sebelum dia mampu menjadi Panglima, dia sudah boleh mempertahankan diri dan keluarganya. Mempertahankan Bondanya. “Aizan!” Dan suara gurunya menarik Aizan Fahmi kembali ke alam realiti. Tumbukan gurunya meluncur membelah udara. Aizan Fahmi sudah menunduk dan pada masa yang sama bergera ke hadapan merapati gurunya. Tumbukan bertubi-tubi dilayangkan pada perut gurunya. Lima tahun ini, Aizan Fahmi berusaha keras menjadi yang terbaik buat bondanya. Namun dia masih rasa bahawa dia tidak dapat menandingi pengorbanan Bondanya. Dia melihat dan memerhatikan sendiri bagaimana bondanya membesarkan adindanya Maisarah. Anak kecil yang tidak memahami apa-apa itu, Bondanya layan dengan penuh sabar. Aizan Fahmi pernah terjaga di tengah tidurnya saat adindanya itu merengek menangis. Aizan Fahmi masih ingat betapa dia menyumpah-nyumpah kerana tidurnya itu terganggu. Namun apabila dia pergi ingin melihat keadaan adindanya, dia sudah melihat Bondanya mendodoi sayang adindanya. Wajah Bondanya wajah kasih. Sikit pun kerut akibat tidur terganggu tidak wujud. Bahkan dipeluk ciumnya adindanya itu. Berbahasa dengan bahasa-bahasa yang lembut. Rib’i Amir menyapu tanah dengan libasan kakinya. Aizan Fahmi sudah melompat ke udara. Tingginya separah dengan kepala gurunya. Ketika ini tendangannya dilancarkan sekuat tenaga. Mujur gurunya berguling mengelak, menjarakkan diri antara mereka. Aizan Fahmi mendarat ke bumi. Matanya tajam memerhatikan pergerakan Gurunya. Namun di dalam minda, dia sentiasa terkenangkan peribadi bondanya. Pengorbanan Bondanya. Aizan Fahmi masih ingat tatkala dia berhajat ingin mengurangkan beban Bondanya. Dengan rela hati, dia menjaga adindanya. Namun adindanya itu termuntah pada pakaiannya. Ketika itu pelbagai perasaan negatif menjengah. Berang. Geli. Semuanya ada. Kalau bukan kerana sabar, pasti adindanya dilempar begitu sahaja. Namun satu hari, dia pernah melihat Bonda terkena perkara yang sama. Tetapi wajah bonda sedikit pun tidak berkerut. Bahkan bondanya tertawa. Dan terus melayan adindanya dengan kasih sayang yang tidak mampu diperikannya. Semua itu menusuk kalbunya. Itu belum dikira Bondanya yang menyiapkan makanan. Bondanya yang membasuh pakaian. Bondanya yang melayan ayahandanya. Bondanya yang melayan dia. Bondanya juga turun bersama-sama rakyat, menjengah mereka, menziarahi mereka. Dia pernah bertanya kepada Bondanya. “Bonda, mengapa bonda melakukan semua ini? Mengapa tidak dibiarkan sahaja pembantu-pembantu kita yang membasuh pakaian dan menyediakan makanan? Biarkan sahaja pembantu-pembantu kita menjaga adinda Maisarah. Mengapa Bonda mesti bersusah payah?” Bondanya tersenyum lalu menjawab: “Wahai puteraku Aizan. Sejak bilakah semua itu menjadi susah payah buat Bonda? Bonda bahagia menyediakan semua itu. Semua itu di sisi Allah ada ganjarannya wahai puteraku Aizan. Apakah putera Bonda ini tidak gemar Bonda mendapat pahala?” Aizan Fahmi menggeleng. Bukan begitu. Tetapi… “Puteraku Aizan, pada tangan seorang ibu itu, ada barakahnya Allah. InsyaAllah, Bonda yakin, kalau bonda melakukan semua ini, berkatnya lebih merapat kepada keluarga bonda. Makanan kalian, Bonda masakkan biar Bonda yang lebih tahu apa ramuannya. Biar lebih bersih buat tumbesaran anak-anak Bonda. Pakaian kalian, Bonda basuhkan, Bonda lipatkan, biar Bonda lebih tahu akan keadaan Keluarga Bonda. Itu semua membuahkan cinta dan kasih sayang, wahai Puteraku Aizan. Dan di dalam semua itu, ada barakahnya Allah.” Dan dia hanya terpana. Bonda melakukan semua itu. Dengan tidak merasa payah. Dengan gembira dan bersenang hati. Dia? Dia tidak mampu membalas semua itu. Jadi dia ingin menjadi seorang yang kuat. Yang mampu melindungi keluarganya daripada sebarang kecelakaan. “Hiaaaargh!” Aizan Fahmi menepis segala serangan gurunya. Kini tubuhnya lencun dibasahi peluh kesungguhan dirinya. Ingin membalas jasa seorang Bonda. Maka dia bersungguh-sungguh sepenuh nyawanya. Biar nanti Bonda bahagia, dan tersenyum melihat dirinya. ******* Hari ini umurnya menjangkau 20 tahun. Dan dia telah mencapai apa yang ingin dicapainya. Menjadi Panglima Tanah Haram yang dihormati dan disegani semua. “Ini adalah senjata hadiah daripada Nendamu, Aizan Zanki.” Ayahandanya, Ruh Faizan, menyerahkan Tombak Naga yang amat terkenal itu kepadanya. Memang dia pernah mendengar sendiri yang nendanya mewasiatkan Tombak Naga itu kepadanya apabila dia mampu menyandang pangkat seorang Panglima. Lantas diangkat kedua-dua belah tangannya, menyambut hormat Tombak Naga tersebut. Seluruh rakyat yang berkumpul di sekeliling Ka’bah mengucapkan tahmid dan takbir. Meraikan hari dia berjaya menjadi seorang Panglima Tanah Haram. Matanya melirik sebentar dalam gegak gempita sorakan masyarakat itu, kepada bondanya. Bondanya tersenyum senang. Dan itu adalah melebihi segala-gala. “Wah kanda, nampak sungguh hebat dan gagah.” Adindanya mendapatkannya. Dia hanya tersenyum. Sudah berumur 10 tahun adindanya itu. Mula menunjukkan gaya keperempuanan. Segera diusap kepala adindanya yang dilitupi hijab itu. “Kanda akan menjadi yang melindungi Bonda, dan keluarga kita. Adinda doakan kanda banyak-banyak ya?” Aizan Fahmi tersenyum puas. Dia menoleh pula kepada rakyat yang sedang meraikannya. Diangkat Tombak Naganya ke langit. Dan sekitar Ka’bah itu menjerit takbir. Panglima baru naik. Menggantikan Panglima Uthman Tolib yang syahid di medan perang tatkala membantu mempertahankan Kerajaan Timur yang baru sahaja tumbang setahun yang lepas. Kerajaan Utopia sekarang ini semakin ganas. Apatah lagi, dua tahun yang lalu, mereka telah berjaya menumbangkan Kiai Songo yang pergi ke Tanah Sejuk untuk mencabar Sang Asura. “Apakah perasaan Anakanda?” Ayahandanya berbisik perlahan tatkala mereka sekeluarga berjalan menuruni pentas. “Gembira. Kerana anakanda semakin hampir dalam membalas jasa Bonda.” Aizan Fahmi tersenyum puas. Ayahandanya tertawa kecil. Aizan Fahmi kehairanan. Mengapa ayahandanya tertawa? Dia ada salah bicara? “Mengapa Ayahanda? Ada yang tidak kena dengan bicara anakanda?” Ayahandanya menggeleng. “Tidak. Tidak. Tinggalnya, apa yang kamu cita-citakan itu mustahil.” “Mustahil?” “Dahulu, berhampiran selepas zaman Utusan Langit Terakhir, ada seorang lelaki menggendong ibunya merentas sahara, untuk bertawaf di Ka’bah ini. Tidak cukup dengan menggendong merentas sahara, dia menggendong ibunya bertawaf di Ka’bah juga. Ketika itu, dia bertemu dengan seorang Sahabat Utusan Langit Terakhir, dan bertanya: Apakah aku telah membalas jasa ibuku? Sahabat Utusan Langit Terakhir itu menjawab: Tidak, walau secarik nafasnya ketika melahirkanmu.” Mata Aizan Fahmi membesar. “Sungguh wahai Anakandaku Aizan, jasa Bondamu itu takkan mampu dibalas. Termasuklah aku sebagai suaminya. Sungguh tiada apa yang mampu membalas jasa Bondamu, melainkan Allah SWT.” Aizan Fahmi menunduk. Terasa kerdil dirinya. Terasa seperti kelakar pula cita-citanya selama ini. “Maka anakanda akan menjadi yang melindungi Bonda. Mempertahankan Bonda.” Dia menoleh kepada Bondanya. Bondanya hanya tersenyum. “Puteraku Aizan, sebenarnya, Allah sahajalah yang mampu melindungi kita. Utusan Langit Terakhir ada pernah bersabda: Ketahuilah bahawa seandainya seluruh makhluk berkumpul hendak memberikan manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu memberikannya, melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untukmu. Dan ketahuilah bahawa seandainya seluruh makhluk berkumpul hendak memberikan mudharat kepadamu, nerscaya mereka tidak akan mampu memberikan mudharat kepadamu, melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untukmu.” “Habis, bagaimanakah baru Aizan mampu membalas jasa cinta bonda selama ini?” Dia memandang kepada Bondanya sebentar, kemudian kepada Ayahandanya. Dia melihat kedua-dua orang tuanya itu tersenyum senang. “Utusan Langit Terakhir ada bersabda: Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara – Sedekah Jariah, Ilmu yang bermanfaat, dan doa anak-anak yang soleh. Maka jadilah seorang anak yang soleh, yang mendoakan kami, yang menjadi saham akhirat kami wahai anakandaku Aizan Fahmi.” Tangan Ayahandanya memaut bahu. “Jadikan itu matlamatmu wahai puteraku Aizan. Seorang hamba yang taat kepada Allah. Yang berpegang teguh kepada ajaranNya. Itulah sebenarnya hakikat cinta. Kalau benar cinta, bukankah hendak bersama hingga ke syurga?” Bondanya menyentuh pipinya. Lembut. Dan air mata Aizan Fahmi mengalir. “Sungguh, anugerah Allah yang terbesar buat Aizan bukanlah kekuatan dan kemegahan yang Aizan perolehi hari ini. Tetapi anugerah Allah yang terbesar buat Aizan adalah, Aizan dilahirkan daripada Bonda, dan mempunyai ayah seperti Ayahanda.” “Maisarah pun begitu juga.” Adindanya mencelah. Dan sekeluarga mereka tertawa. “Apa-apapun Bonda, Aizan akan tetap berusaha menjadi yang kuat untuk Bonda. Berbakti penuh kesungguhan.” “Itu tidak dihalang wahai puteraku Aizan. Bahkan itulah antara ciri-ciri anak yang soleh.” Bondanya memancarkan sinar lembut yang menyenangkan daripada senyuman yang tidak pernah lekang itu. Dan mereka bersalaman meraikan rakyat. Ramai yang mengucapkan tahniah. Aizan Fahmi terus-terus dipeluk rakan-rakannya – Khalid Al-Walid, Waqqas Ali Qadri, dan Ali Mubarak. Mereka adalah seperguruan dengannya, anak murid kepada Rib’i Amir. ******* Sahara Luas. Satu kawasan padang pasir yang teramat besar. Hingga apabila mata memandang, takkan mampu melihat penghujungnya. Tanah kosong yang maha besar terwujud di tengah-tengah Wilayah Amara dan Wilayah Ethan. Di bahagian utaranya adalah Utopia, manakala di bahagian selatannya adalah Kerajaan Tanah Haram. Wilayah Amara adalah yang dahulunya dikenali sebagai Kerajaan Utara. Manakala Wilayah Ethan adalah yang dahulunya dikenali sebagai Kerajaan Barat. Bertukar nama kerana Kerajaan-kerajaan itu telah tumbang di tangan Sang Asura dan bala tenteranya. Setahun selepas Aizan Fahmi menjadi Panglima, Sang Asura sudah mula ingin mengetuk Pintu Kerajaan Tanah Haram. Bagi mengelak pertempuran berhampiran kota, Ruh Faizan mengarahkan tentera Tanah Haram keluar ke Sahara Luas dan mempertahankan Tanah Haram di sana. Ayahandanya itu mengikuti gerombolan tentera kali ini. Berkeras tidak mahu ditinggalkan di Tanah Suci. Ingin bersama tenteranya, dan tidak mahu sekadar duduk berlindung diri. Nyata darah juang ayahandanya itu belum kebah. Dahulu, Ayahandanya itu adalah Ketua Panglima Tanah Haram di zaman kekuasaan nendanya, Aizan Zanki. Dan apabila ayahandanya berkeras ke medan perang, bondanya turut serta sekali. Sama seperti ayahandanya, bonda berkeras untuk tidak meninggalkan Ayahandanya. Adindanya ditinggalkan di Tanah Suci, dijaga oleh pembantu-pembantu perrempuan di sana. Adindanya masih kecil, risau jika dibawa ke medan peperangan ini. Namun itu tidak mengurangkan kerisauan Aizan Fahmi. Bondanya berada di medan perang, sudah cukup menggusarkan hati. “Bagaimana Guru?” Dia menyapa gurunya, yang melihat medan peperangan. “Tempat ini, tiada tempat untuk berlindung dan bersembunyi. Semua tanahnya rata. Tinggal kelebihan kita, kubu kita adalah di Oasis ini. Kita punya bekalan air yang cukup.” “Bukan, maksud saya, bagaimana kita mahu menentang mereka, Guru? Dengar kata, jeneral-jeneral Utopia sudah amat dasyat untuk ditangani. Belum ada yang mampu memenangi.” Aizan Fahmi menyilang tangan ke dada. Berita berkenaan kekuatan Jeneral Utopia amat tersohor di telinga masyarakat. Tidak lama selepas Aizan Fahmi menjadi Panglima pada tahun lepas, Sang Asura dan kelima-lima Jeneralnya telah berjaya menumbangkan Kesatuan Lima Kerajaan di Medan Mu’azzam, Kota Terulung. Sekaligus mengumumkan penguasaan mereka di atas dunia ini. Bumi Barakah pula, sebaik sahaja Kesatuan Lima Kerajaan tewas, hilang daripada muka bumi. Ini disaksikan sendiri oleh Aizan Fahmi apabila dia dihantar oleh Ayahandanya untuk melihat keadaan Bumi Barakah, meminta mereka menguatkan tentera mereka. Kini yang tinggal hanyalah Tanah Suci dan Kerajaan ‘Hijau’ Chinmayi. Menentang Sang Asura dan segala bala tenteranya. “Aizan, sekadar yang aku pernah bertembung dengan mereka, memang kekuatan mereka tiada tolok bandingnya. Mereka tidak pernah tewas dalam apa jua peperangan.” Aizan Fahmi menghela nafas apabila mendengar bicara gurunya. Maka, apakah peperangan kali ini mereka akan tewas juga? “Tetapi Aizan, sepanjang pemerhatianku, mereka itu tidur dan makan juga. Nyatanya, walaupun mereka bukan manusia, tetapi mereka adalah makhluk seperti kita. Dan apabila sesuatu itu adalah makhluk, maka nyatanya mereka adalah ciptaan Allah Yang Maha Perkasa. Maka usah kita gentar. InsyaAllah, Allah bersama kita.” “Saya tidak pernah gentar guru. Tinggal, kalau saya tumbang, Bonda dalam bahaya.” Rib’i Amir tertawa. “Sebab itu wahai Aizan Fahmi, Allah jugalah sebaik-baik pelindung. Bahkan, dunia ini adalah yang lebih besar daripada Permaisuri Atikah.” “Eh?” “Itulah dia Islam wahai Aizan Fahmi. Kalau kita tumbang, jangan kata bondamu. Islam itu juga akan terganggu perjalanannya di atas muka bumi ini. Kita adalah pertahanan Islam yang terakhir pada zaman ini, bersama-sama Chinmayi.” Aizan Fahmi rasa seperti disambar halilintar akan jiwanya. Terbayang bagaimana manusia berbondong-bondong tunduk kepada jahiliyyah yang dibawa oleh Sang Asura dan bala tenteranya. “Dan aku yakin, Permaisuri Atikah bondamu itu juga memahami. Sebab itu dia berada di sini.” Dahi Aizan Fahmi berkerut. “Mengapa guru kata begitu?” “Kerana Permaisuri Atikah ingin mempertahankan benteng Ummah hari ini.” Rib’i Amir menoleh ke arah khemah tempat Ruh Faizan dan Permaisuri Atikah berada. Aizan Fahmi menoleh ke arah yang sama. “Ayahanda?” Rib’i Amir mengangguk. “Dialah satu-satunya Raja yang mampu memimpin kita sekarang ini. Usianya baru 50-an. Raja Ali Khan di Chinmayi sudah terlalu tua. Tuanku juga nyata seorang yang berkaliber tinggi dengan kefahaman Islam syumul yang dipunyainya. Sebab itu Tanah Suci baru diserang hari ini. Nyatanya, Sang Asura itu juga amat mengetahui akan kekuatan seorang Ruh Faizan. Tiba-tiba kedengaran bunyi semboyan yang teramat kuat. Derapan tentera pula membuntuti. Sayup-sayup kedengaran menyusuli bunyi semboyan. “Ah, mereka telah tiba.” Dan tidak lama kemudian, terserlah bendera besar Wilayah Amara. Diiringi ribuan panji. “Nampaknya, yang hadir adalah Ketua Jeneral Utopia yang terbaru – Long Berk.” Rib’i Amir memerhati. Long Berk adalah Ketua Jeneral Utopia yang baru, menggantikan Ketua Jeneral Izrayel yang dikatakan tumbang ketika bertempur dengan Kiai Songo sekitar dua tahun yang lalu. Walaupun baru muncul di persada pertempuran ini, kekuatan Long Berk dikatakan tidak kurang daripada Izrayel. Dia menggantikan posisi Izrayel itu sahaja sudah membuktikan kekuatannya. “Nampaknya, Sang Asura benar-benar hendak menghapuskan Agama Langit.” Aizan Fahmi mendengus. “Panggil Mughirah Syu’bah ke mari.” Satu nama disebut. “Syu’bah? Dia masih terlalu muda, Guru.” Aizan Fahmi membangkang. Panglima-Panglima Tanah Suci yang dahulu telah tiada. Kini, sahabat-sahabat seperguruannya pula menggantikan mereka. Namun, Mubarak Ali syahid di medan perang pada ekspedisi peperangan mempertahankan Kerajaan Utama pertengahan tahun lalu. Dibunuh seorang jeneral Utopia bernama Valdis. Tempat Ali Mubarak itu, digantikan oleh seorang remaja yang baru sahaja berusia 15 tahun. Itulah dia Mughirah Syu’bah. “Tetapi Mughirah Syu’bah adalah yang kita perlukan sekarang. Prodigi medan perang, usaha kita untuk menang dalam pertempuran ini. Natijahnya, Allah jugalah yang memberi.” Rib’i Amir bertegas. Aizan Fahmi mengangguk faham. Segera dia bergerak ke kem mereka. “Mughirah Syu’bah!” Dia menyeru. Tidak lama kemudian, Mughirah Syu’bah hadir. Anak muda itu kemas dengan pakaian Panglima. Memang sekali pandang, tiada yang akan mampu menjangka anak muda itu baru berusia 15 tahun. Kematangan melebihi usia. Peribadi seperti punya hikmah orang tua. Dan tutur katanya… “Ya Senior Aizan?” Senior… Melambangkan budi bicara dan rasa hormat yang tinggi pada orang keliling. Walaupun merupakan seorang prodigi, nyata Mughirah Syu’bah adalah seorang yang merendah diri. Aizan Fahmi tersenyum. “Pergi kepada Guru, dia memerlukanmu. Tentera Utopia sudah hadir, dan yang tiba adalah Long Berk daripada Amara.” “Baik Senior.” Dan langsung tidak terjeda walaupun nama Long Berk yang disebut. Nyata Mughirah Syu’bah bukan anak muda biasa. Anak muda matang yang penuh wibawa. Ketika ini, Aizan Fahmi segera berlari ke khemah Ayahandanya. Nampaknya Ayahandanya telah tiada di dalam khemah. Mungkin sudah keluar. Dia tanpa menanti terus mendapatkan bondanya. “Bonda, bonda jangan sesekali keluar daripada khemah ini ya?” “Mengapa?” Bondanya lembut bertanya. “Kerana yang tiba adalah Long Berk. Anakanda hanya mahu memastikan Bonda selamat.” Kedua belah tangan Bondanya dipaut erat. Betul-betul mengharap yang bondanya akan selamat. Bondanya tersenyum. “Allah jugalah pelindung kita, daripada sesiapa sahaja wahai puteraku Aizan.” Aizan Fahmi hanya mampu tersenyum. Hubungan yang kuat antara Bondanya kepada Allah SWT, seakan-akan kekuatannya langsung tidak diperlukan. Bondanya seakan-akan cukup sekadar melihatnya hidup tanpa berbuat apa-apa untuk dirinya. Tidak mengharapkan balasan apa-apa, sekadar mengharapkan dia menjadi hamba yang taat kepadaNya. Bonda nyata mulia. “Aizan pergi dahulu ya Bonda.” “Puteraku Aizan.” “Ya bonda?” Aizan Fahmi menoleh. “Tunjukkan kepada mereka, siapakah hamba-hamba Allah SWT yang sebenarnya.” Bondanya memberikan semangat. “Agama Langit ini, kita akan pertahankan walau dengan nyawa kita.” Aizan Fahmi tersenyum lebih lebar. “Semestinya Bonda. Semestinya.” Dan dia keluar daripada khemah itu dengan kekuatan yang membara. Doa Bonda, seperti melebihi segala-galanya. ****** Perang meletus dengan amat dasyat sekali. Daripada Wilayah Amara, bukan hanya manusia yang bertempur. Bahkan Kaum Gergasi turut serta bersama mereka. Belum dikira makhluk-makhluk genetik yang terdiri daripada pelbagai jenis kaum. Namun itu semua tidak mengurangkan kekuatan Pejuang-pejuang Tanah Haram. “Hiaaaargh!” Aizan Fahmi menebas kiri dan kanan. Kepala-kepala musuhnya melayang. Kuda yang dinaikinya gagah membelah samudera tentera Amara. Berputar-putar di tengah medan peperangan. Entah sudah berapa ratus musuhnya yang tumbang. Tiba-tiba tanah bergegar lebih kuat. Seekor Gergasi datang menyergah. Aizan Fahmi memacu kudanya menjauhi bantaian gergasi itu. Kemudian dengan pantas melompat dan berlari di atas tangannya. Sampai di bahagian bahu, Aizan Fahmi melompat ke hadapan mata gergasi itu. “Tumbanglah musuh-musuh Allah!” Dan penglihatan gergasi tersebut dirampas. Ketika itu juga satu panah gergasi menebak ke dada makhluk tersebut. Tumbang. Aizan Fahmi mendarat semula ke arah kudanya. Sempat dia memandang arah panah gergasi itu tiba. Kelihatan Waqqas sedang mengendalikan panah gergasi tersebut. Dia mengangkat tangan tanda terima kasih. Waqqas membalasnya semula. Waqqas memang merupakan pemanah terhandal di Tanah Suci. Apa jenis pemanah, semuanya dimahiri. Aizan Fahmi terus tangkas membelah medan perang. Yang menjadi kehairanannya adalah, Long Berk masih tidak turun. Mengapa Ketua Jeneral Utopia itu tidak berperang sama? Apakah mereka mempunyai strategi rahsia? Ketika ini, lima musuh menerjah ke arahnya. Aizan Fahmi tidak sempat mengelak. Fokusnya terlari akibat memikirkan pergerakan Long Berk. Lumrah di medan perang. Lalai sesaat, menyesal selama-lama. “Aizan Fahmi!” Dan bersama jeritan itu, kelima-lima musuhnya jatuh ke bumi. Aizan Fahmi menghentikan kudanya tiba-tiba. Itu suara Khalid Al-Walid. Aizan Fahmi memerhati ke arah bumi. Khalid Al-Walid sedang menunduk, sambil menikam dua musuhnya. Manakala di sebelah Khalid adalah Mughirah Syu’bah, turut menikam dua musuhnya. Manakala seorang lagi berada di bawah telapak kakinya. “Senior Aizan, apakah yang menganggu fikiranmu?” Mughirah Syu’bah bangkit, bergerak ke sisi kuda yang ditunggangi Aizan Fahmi. “Aku sekadar berfikir, mengapakah Long Berk itu tidak turun ke medan perang? Aizan Fahmi memandang terus ke hadapan. Seakan-akan dia mampu menembusi tempat Tentera Amara berkumpul. Mughirah Syu’bah dan Khalid Al-Walid memandang ke arah yang sama. Tiba-tiba Mughirah Syu’bah menoleh kembali ke arah Aizan Fahmi. “Senior Aizan, Senior Khalid, saya rasa tidak sedap hati.” “Mengapa?” “Sahara Luas ini luas. Dan kita tidak tahu apakah pergerakan Long Berk yang sebenarnya sebab kita tidak mampu melihat dia dari tempat kita ini. Bagaimana agaknya jika dia tiada di kemnya?” “Maksudnya?” Aizan Fahmi berkerut. Tetapi dia seakan dapat menangkap maksud Mughirah Syu’bah itu. “Ah, alangkah buruknya keadaan kita sekiranya dia sebenarnya tiada di kemnya, dan berputar menyerang kita dari arah belakang.” Khalid Al-Walid tersedar. Mata Aizan Fahmi membesar. Teringat Ayahanda. Dan Bonda. Aizan Fahmi terus memacu kudanya, membelah medan perang untuk pergi ke tempat Ayahanda dan Bondanya. “Meminggir!” Suaranya ibarat halilintar, seraya mencantas musuh-musuh yang cuba menghalang laluannya. Tetapi belum pun dia tiba ke kawasan khemah itu, dia sudah dapat melihat dari kejauhan yang khemah itu terangkat ke udara. Terpelanting dilayang angin. Disusuli beberapa tubuh pengawal. “Kubu kita diserang daripada belakang!” Dan jeritan itu seperti meragut tangkal jantungnya. Air matanya mula bergenang. Bonda. Bonda. Bonda! “Laju lagi. Lagu lagi!” Dia memacu kudanya sekuat hati. Seakan-akan dialah yang berlari. Dia tiba seperti menunggang deruan angin. Ketika itu dia dapat melihat sekumpulan tentera Utopia, kelihatannya bukan tentera biasa yang berada di tengah medan perang. Pastinya ini tentera Elit. Zirah mereka lengkap menutup segala. Yang tinggal hanya mata. Hitam seluruhnya. Dan terdapat seorang pejuang yang sedikit berbeza daripada mereka. Corak Zirah yang lebih gagah, bersama mantel merah tanda megah, ditemani lembing hitam yang kini rakus menumbangkan segala lawan. Itu pastinya Long Berk. Sempat matanya mendapatkan Ayahanda dan Bondanya. Kini kedua-dua mereka sedang dikerumuni Tentera Elit Utopia. “Ayahanda, bonda!” Dia terus melompat untuk menghalang Tentera Elit Utopia itu. Namun ketika itu jugalah tubuhnya melayang jatuh ke bumi, apabila dia mengelak lembing hitam yang dilemparkan ke arahnya. Segera dia bangkit, tetapi hanya untuk ditekan oleh kaki pemilik Lembing Hitam tadi. Matanya bertembung dengan mata Long Berk di balik topeng. “Lepaskan aku jahanam!” “Lemah. Orang yang lemah hanya patut mati.” “Cis!” Aizan Fahmi meningkatkan tenaga dalamannya. Pada masa yang sama, Long Berk turut meningkatkan tenaga dalamannya. Dan mata Aizan Fahmi terbelalak dengan tekanan yang diterima daripada tenaga Long Berk. Seakan-akan ada satu gunung yang besar, sedang menghempap tubuhnya. Dia juga dapat melihat dengan jelas, bagaimana debu-debu pasir naik mengelilingi mereka. “Bonda!” Dia menjerit sepenuh hati. Dua belah kaki Long Berk dipegang kuat. Cuba mengangkat, tetapi tidak mampu. “Matilah Panglima Tanah Haram!” Dan ketika ini Long Berk sudah mengangkat lembing hitamnya semula. Hendak menujah tepat ke dada Aizan Fahmi. “Senior Aizan!” Mughirah Syu’bah muncul pada saat genting, menembusi putaran angin yang dihasilkan Long Berk. Pedang Kembarnya segera mengenepikan lembing Long Berk, menyebabkan senjata itu hanya mampu mengucup tanah. Tidak memberikan masa, Mughirah Syu’bah terus melibas pedang kembarnya untuk mencantas tubuh Long Berk. Namun, pedang kembar itu sekadar terhenti pada tubuh Ketua Jeneral itu. “Oh, apakah ini Orihalcoln?” Mughirah Syu’bah baru menyedari akan mineral yang digunakan bagi menempa zirah Ketua Jeneral Utopia itu. Mineral terkeras yang wujud di alam ini. “Mampus!” Long Berk melibas lembingnya. Mughirah Syu’bah tidak mengelak menjauhi, bahkan terus mendekatkan dirinya kepada Long Berk. Akibatnya, tubuhnya dihentam batang lembing Long Berk. Terpelanting menjauhi Ketua Jeneral itu. Long Berk mendengus. Tindakan Mughirah Syu’bah itu padanya bijak. Jarang difikirkan sesiapa. Selalunya, orang akan mengelak menjauhi. Tetapi, jika itu yang dilakukan Mughirah Syu’bah tadi, pastinya dia telah menjadi mangsa mata lembing Long Berk. Namun apa yang dilakukan adalah Mughirah Syu’bah merapatinya. Menyebabkan hanya batang lembingnya sahaja yang menjamah tubuh lelaki itu. Long Berk memandang semula ke bawah, dan perasan Aizan Fahmi telah tiada. “Bonda!” Aizan Fahmi melihat Ayahandanya berusaha menentang kumpulan elit Utopia tadi. Bondanya sudah terduduk di sisi. Namun belum sempat Aizan Fahmi hendak merapati Ayahanda dan Bondanya, dia dapat melihat salah seorang yang bertarung dengan ayahanda itu mula hendak melakukan serangan curi. Ayahandanya tidak perasan. “Ayahanda!” Dan darah memercik ke udara. Mata Aizan Fahmi terbuntang. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. “Atikah!” Ayahandanya menjerit. Bondanya menghadang serangan hendap tadi dengan menggunakan tubuh sendiri. Perut Bondanya rabak, apabila Tentera Elit Utopia itu dengan rakus mencantas ke sisi bagi menarik senjatanya semula. Namun Ayahandanya sempat menujak senjatanya ke wajah tentera itu. Ketika inilah baru tentera Tanah Haram yang tadinya di medan perang menggerumuni kawasan itu. Dia terus mendapatkan bondanya. “Bonda, bonda, bersabarlah. Bertenang. Kami akan selamatkan Bonda.” Air matanya mengalir deras. Bondanya menggeleng lemah. “Bonda telah menyelamatkan kamu semua.” Senyuman yang diiringi darah meleleh itu mencucuk-cucuk jiwa. “Bonda, bertenang.” Aizan Fahmi menoleh kiri dan kanan. Mencari Doktor Tanah Suci. Tetapi yang dilihat kini hanyalah Khalid Al-Walid, Waqqas Ali Qadri, Mughirah Syu’bah dan gurunya Rib’i Amir yang bersusah payah bertempur dengan Long Berk bagi menghalang kemaraan Ketua Jeneral Utopia itu. Tentera Tanah Suci semakin ramai menggerumuni kawasan itu, memandangkan pertempuran di medan perang juga telah dikuasai oleh mereka. Kehadiran Mughirah Syu’bah nyata membuatkan strategi Tanah Suci bertambah hebat dan berjaya. Namun malangnya, kemenangan ini tidak dirasai kemanisannya. “Ayahanda, bagaimana ayahanda? Doktor mana? Doktor!” Aizan Fahmi menjerit. Ayahandanya sekadar mampu menggeleng lemah. Mengusap-usap wajah bondanya di pangkuan. “Sayangku Atikah, apakah pengorbanan ini? Siapakah lagi yang akan mencintai anak-anak kita? Yang akan menemani Maisrah nanti? Yang akan memberikan kekuatan kepada seorang Aizan Fahmi?” Ayahandanya berbicara lemah. Aizan Fahmi memandang semula ke arah wajah Bondanya. Bondanya tersenyum. Pucat. “Inilah dia pengorbanan, untukNya. Menjaga orang, yang akan menjaga deenNya.” Tangan Bondanya terangkat, menyentuh pipinya dan pipi ayahandanya. “Ini cinta saya. Kepada kamu Ruh Faizan suamiku, dan kepadamu wahai Aizan Fahmi puteraku.” Dan kemudian Bondanya terbatuk-batuk bermuntahkan darah. “Hiduplah dengan baik di atas muka bumi ini, sebagai saham bonda di akhirat nanti.” Dan itulah bicaranya yang terakhir. Kalimah syahadah diungkap. Matanya terkatup. Namun senyuman tetap tidak lekang. “Aaaaaaaaargh!” Aizan Fahmi bangun. Hajatnya ingin menumbangkan Long Berk. Tetapi Long Berk sudah tiada. Yang ada hanyalah gurunya Rib’i Amir, dan sahabat-sahabatnya yang sedang tertunduk lemah. “Apa yang berlaku?” Aizan Fahmi mendapatkan mereka, nada geram. “Long Berk kata, mereka mahu berundur. Dia sudah melihat kekuatan kita.” “Hah? Dia hanya menguji kekuatan kita?” “Nampaknya demikian. Katanya, kalau mahu dihapuskan kalian, yang datang bukanlah dia seorang.” Dahi Aizan Fahmi berkerut. Dan air matanya kemudian mengalir. ******* Angin bertiup membuai tubuh. Walaupun tubuhnya dilindungi zirah panglima, dia tetap mampu merasakan damainya angin yang membelai. “Kanda, buat apa di atas menara ini?” Suara Maisarah menyapa. Aizan Fahmi menoleh sebentar, sebelum melepaskan pandangannya semula. Tanah Suci dijilatnya dengan mata. “Teringat Bonda. Dulu, masa adinda belum ada, Bonda selalu bawa kanda ke atas menara ini.” “Iya?” Maisarah duduk di sebelahnya. Menara itu dahulunya merupakan antara tujuh menara yang wujud di Masjidil Haram. Kini, menara itu menjadi sebahagian daripada istana, memandangkan satu pertujuh daripada masjid itu kini menjadi Istana Tanah Suci. “Bonda selalu kata, semua yang berada dalam pandangan kanda di atas menara ini, akan menjadi tanggungjawab kanda di akhirat nanti.” “Sebab kanda anak kepada ayahanda?” Menggeleng. “Sebab kanda hamba kepada Allah SWT.” Maisarah adindanya tersenyum. Adindanya itu persis seperti Bondanya. Wajah dan perawakannya. Akhlak dan peribadinya. Sekurang-kurangnya, itulah dia pengubat jiwanya dan ayahanda. “Cinta Bonda itu, terasa hingga ke hari ini ya?” Aizan Fahmi mengangguk. “Tak terbalas adinda. Tak terbalas. Walau apa pun yang dilakukan oleh kita.” “Sekurang-kurangnya, kita masih berusaha. Menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, berbuat baik di atas muka bumi ini, dan mendoakan bonda.” Maisarah mendekatkan dirinya kepada Aizan Fahmi, dan melentokkan kepalanya pada bahu kakandanya itu. Aizan Fahmi mengangguk lagi. Ya. Itulah sahaja cara dan baktinya yang tinggal kini. Hidup dengan baik. Menjadi hamba Allah yang soleh. Mendoakan Bondanya. Agar nanti mereka bersama-sama di syurga sana. Kalau benar cinta, mesti hendak bersama ke syurga. “Kita sama-sama akan meneruskan perjuangan ini.” Giliran Maisarah mengangguk. Dan mereka bersama memandang ke hadapan. Meniti hari-hari esok yang mendatang. Terus sebagai seorang pejuang di jalan Allah SWT. Terus sebagai seorang anak soleh yang menjadi saham akhirat buat kedua ibu bapa mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blog Archive

sadiq and sadiqi